Basmalah.
Penyakit paling besar yang menimpa dunia hari ini tetapi orang tidak anggap penyakit dan bukan penyakit dan mungkin orang Islam pun tidak anggap penyakit, iaitu tidak takut dan tidak cinta Tuhan. Tidak takut dan tidak cinta Tuhan adalah penyakit besar yang sedang melanda dunia. Orang yang tidak takut dan cinta Tuhan, kalaupun dia tidak ganggu orang pun, dia tetap dianggap jahat. Itu mengikut pandangan Tuhan. Mengikut pandangan manusia, selagi kejahatan itu belum dilahirkan itu belum dianggap jahat. Tetapi di sisi Tuhan, tetap dianggap jahat sebab asas kejahatan itu sudah ada pada dirinya.
Bila tidak takut dan tidak cinta Tuhan ertinya jati diri orang itu sudah roboh. Ertinya ketahanan dirinya sudah roboh. Bila ketahanan sudah roboh, mudahlah kejahatan-kejahatan itu masuk. Sebab asas kejahatan, atau denak untuk dapat kejahatan itu sudah wujud. Bila orang tidak takut Tuhan, dia tidak takut hendak buat jahat dengan makhluk Tuhan. Bila orang tidak cinta Tuhan, otomatik dia tidak cinta dengan makhluk. Sebab itu saya katakan tadi, kalau dia belum ganggu orang pun, tetapi asas kejahatan sudah ada yakni tidak takut dan tidak cinta Tuhan, itu sudah dianggap kejahatan. Jati diri sudah tumbang. Pintu kejahatan sudah terbuka luas. Hanya menunggu hendak buat atau tidak.
Bila tidak takut dan tidak cinta Tuhan, kadang-kadang dengan kejahatan orang lain, dia pun ikut jahat. Contoh: Katalah dalam pergaulan, ada kawan-kawan yang buat silap, dia tidak tahan dan dia tidak sabar. Ertinya dengan kejahatan orang, dia pun ikut jahat. Kerana jati dirinya sudah terdedah. Padahal yang jahat, orang lain tetapi dia pun ikut buat jahat kerana jati diri sudah tiada. Patutnya kalau orang buat jahat, biarlah orang itu sahaja yang jahat. Tetapi dia tidak tahan. Dengan kejahatan orang, dia pun ikut buat jahat. Sebab itulah kalau orang takut dan cintakan Tuhan, ertinya hati orang itu bersih daripada benih kejahatan. Bila benih kejahatan tidak ada, tidak mungkin benih itu akan subur. Boleh subur itu kalau ada benihnya. Orang kata, benih itu kalau dibaja akan subur tetapi kalau benih tidak ada, tidak mungkin akan subur.
Bila ada takut dan cinta Tuhan, macam-macam kejahatan tidak jadi hendak masuk. Contoh, katalah kita seorang suami, balik pukul 12 malam. Ketuk pintu, beri salam, isteri tidak bangun-bangun. Sudah lama ketuk, barulah dia buka pintu. Apa hati kita kata? “Mungkin dia mengantuk.Takkan lah orang mengantuk tidak dimaafkan.” Kita masih boleh lapang dada. Tapi kalau tidak takut dan tidak cinta Tuhan, kalaupun bukan penampar yang naik ke muka isteri, singa kita sudah keluar. (Marah)
Contoh lain, kita bergaul, tiba-tiba ada orang buat jahat terhadap kita. Hati kita sangka baik, “Dia tidak perasan agaknya. Dia tersilap agaknya.” Ataupun kita takwilkan, “Dosa apa yang aku buat sampai Tuhan hukum. Kawan boleh buat jahat begini. Kawan baik pula. Ini mesti ada dosa saya.” Bila dia sudah ada takut dan cinta Tuhan, dia boleh berlapang dada.
Kalau kita kaji secara halus atau tersirat, oleh kerana Tuhan sayang kita, kesalahan kita cepat dibalas. Contohnya ada cerita dalam kitab. Ada dalam satu keluarga, suaminya tauke emas. Dia keluar pagi, malam baru balik. Suami isteri ini orang beragama. Dia ada orang gaji lelaki yang baik. Suatu hari waktu suami tiada di rumah, orang gaji itu hulur satu barang pada isteri tuan rumah dari sebalik pintu. Mereka tidak memandang satu sama lain. Entah macam mana waktu hulur barang itu, orang gaji itu pegang tangan puan nya. Perempuan itu rasa orang gaji itu pegang dengan bernafsu. Perempuan itu tidak marah tetapi dia fikir dosa siapa yang menyebabkan itu berlaku. Adakah dosa dia atau dosa suaminya. Bila suami balik, dia tanya suami,”Saya minta abang jangan bohong. Waktu di kedai emas, apa yang berlaku?” Suami itu org yang takut Tuhan. Dia kata,”Tadi abang ada tersilap. Syaitan menggoda abang. Ada perempuan beli cincin, abang sarungkan cincin dan abang pegang tangannya dengan bernafsu.” Perempuan itu kata,”Patutlah saya kena hukum, abang pun kena hukum. Orang gaji yang baik itu pegang tangan saya. Ini hukuman pada abang.”
Inilah cerita dalam kitab. Kadang-kadang kerana Tuhan sayang seseorang itu, Tuhan tidak biar lama kesalahannya. Tuhan hukum. Bila orang sudah cinta Tuhan, ertinya ketahanan dirinya sudah wujud. Di sinilah rahsia mengapa gejala dalam masyarakat payah hendak dibanteras. Kerana orang jahat dan orang yang hendak baiki pun sama-sama jahat serta tidak takut Tuhan. Antara murid dengan guru, guru pening kepala dengan kejahatan murid seperti tidak ikut kelas, tidak displin, tidak buat kerja rumah. Dia fikir, “Jahat betul murid aku ini.” Kenapa dia rasakan muridnya jahat? Kerana dia tidak buat kejahatan murid itu maka dia rasa muridnya jahat. Tetapi sebenarnya dia buat kejahatan lain jadi Tuhan balas. Guru tidak bergaduh, murid bergaduh. Tetapi kenapa dia tidak boleh hendak didik muridnya? Sebab dia pun buat kejahatan. Cuma kejahatannya tidak sama. Di rumah, sekejap-sekejap tempeleng isteri atau sepak isteri. Bagaimana orang jahat hendak baiki orang jahat?
Sebab itu bila berlaku gejala oleh pemuda pemudi, kalau hendak tangani kejahatan itu, guru, nazir atau menteri, jangan hanya cari salah budak. Carilah kejahatan sendiri dan bertaubat. Kalau terus bertindak sedangkan kita, menteri, guru besar, nazir, tidak nampak kejahatan sendiri, maka sebab itu Tuhan tidak tolong. Sebab itu setiap orang yang hendak tangani gejala masyarakat, dia kena fikir dulu apa dosanya. Dia taubat dan minta tolong dengan Tuhan. Barulah tangani masalah. Barulah Tuhan akan tolong. Hari ini tidak. Guru, Guru Besar, Menteri nampak murid jahat dan dia tidak rasa dirinya jahat. Begitulah juga kalau orang politik hendak baiki masyarakat. Masyarakat ada kejahatan sendiri manakala orang politik pula ada kejahatan sendiri. Mungkin dia tidak bergaduh macam masyarakatnya tetapi mungkin dia amalkan rasuah. Bagaimana orang jahat hendak baiki kejahatan orang lain?
Mana ada orang, sekali pun ulama yang pernah mengatakan segala kejahatan adalah berpunca dari manusia tidak takut dan tidak cintakan Tuhan. Sebab itu orang selalu sesatkan saya kerana ketengahkan pandangan yang berbeza. Ini perkara yang sangat tersirat. Tidak takut dan tidak cintakan Tuhan adalah asas kejahatan.
Bagi orang yang takut dan cintakan Tuhan, dia tidak cepat bertindak. Dia fikir dahulu. Mungkin kerana ada dosanya. Dia pun bertaubat. Kalau dia fikir-fikir tetapi dia tidak jumpa dosanya maka dia cakap dengan Tuhan, walaupun dia tidak jumpa dosanya dia tahu dia ada salah jadi dia minta ampun. Setelah itu barulah dia minta Tuhan tolong dia. Sebab itulah Rasulullah itu, walaupun orang baling batu dan pasir padanya, dia doakan supaya orang itu diberi petunjuk.
Bagi orang yang takut dan cintakan Tuhan, dia tidak cepat bertindak. Dia fikir dahulu. Mungkin kerana ada dosanya. Dia pun bertaubat. Kalau dia fikir-fikir tetapi dia tidak jumpa dosanya maka dia cakap dengan Tuhan, walaupun dia tidak jumpa dosanya dia tahu dia ada salah jadi dia minta ampun. Setelah itu barulah dia minta Tuhan tolong dia. Sebab itulah Rasulullah itu, walaupun orang baling batu dan pasir padanya, dia doakan supaya orang itu diberi petunjuk.
Jadi kalau orang buat jahat pada kita, kita pun hendak bertindak balas, kita sama-sama jahat. Orang yang baik, dia tidak terus bertindak. Yang paling baik, dia fikir, ada dosanya sehingga orang buat jahat padanya. Dia sentiasa baik sangka dengan Allah. Kesan dari cinta dan takut pada Allah.
Jadi bagi orang yang hendak baiki masyarakat, tidak boleh hanya buat akta dan peraturan. Akta itu benda luaran. Itu cara terakhir. Yang takut itu hati. Kejahatan datang dari hati yang tidak takut dan tidak cintakan Tuhan. Patut dia betulkan hati dahulu supaya orang takut dan cintakan Tuhan. Kalau ada orang miskin dan kita sedar ada jiran yang tidak pedulikan jiran yang miskin itu, adakah kita cakap,”tidak patut tangan yang tidak membantu?” Tidak. Kita kata,”tidak ada hati perut orang itu.” Ada orang hasad dengki dengan orang, kita cakap, “jahat betul hati dia.” Kita tidak kata, ”sampai tangan orang itu.” Kalau orang tempeleng orang lain, kita kata, “Sampai hati orang itu.”
Takut dan cinta Tuhan adalah ibu segala kebaikan. Tetapi kalau tidak takut dan tidak cinta Tuhan, itulah ibu segala kejahatan. Itulah jati diri yang sudah rosak.
Cukuplah setakat ini. "ASZ"
Cukuplah setakat ini. "ASZ"

Tidak ada komentar:
Posting Komentar